ADVERTISEMENT BANNER

Permasalahan zakat emas di bank

Wednesday, 19 February 2014

Soalan:

Apakah hukumnya membeli emas dalam bentuk bar (jongkong atau wafer) di bank, adakah ia dikira simpanan atau pelaburan? Adakah emas itu masih wajib dizakatkan? Jika ya, bilakah bermulanya haul ke atas emas berkenaan? Adakah jika saya mengeluarkan sebahagian daripadanya, misalnya saya cairkan dalam bentuk tunai (dijual kepada bank kembali), maka akan mempengaruhi haul zakat emas berkenaan? Jika emas yang saya beli, kemudiannya jatuh harganya, maka apakah nilai zakat saya juga akan ikut jatuh? Jika saya wajib membayarnya, bolehkah saya membayar zakat berkenaan secara ansuran? Harap penjelasan pihak ustaz.



Jawapan:

Alhamdulillah, rasanya keadaan sekarang adalah masa yang terbaik bagi kita untuk membeli emas, ini kerana harganya sedang rendah berbanding tahun-tahun dahulu. Bahkan menyimpan atau melabur dalam bentuk emas, sama ada emas jongkong, wafer ataupun perhiasan memang dianjurkan, kerana nilainya lebih kukuh (tidak fluctuate) berbanding simpanan atau pelaburan dalam bentuk wang kertas. Maka, soalan mengenai zakat ke atasnya memang amat tepat diajukan.



Saya juga berdoa, semoga Allah SWT memberikan kekuatan ilmu dan kefahaman buat saya untuk menuntasi persoalan-persoalan yang telah saudara bangkitkan di atas. Saya yakin, masih ramai umat Islam di luar sana yang mempunyai kemusykilan yang sama mengenainya. Moga jawapan ini mampu merungkai pelbagai persoalan berkenaan demi manfaat bersama, amin.



Pertama, mengenai emas yang dibeli di bank, tidak kiralah apa pun bentuknya (emas jongkong atau perhiasan atau syiling), hukumnya samalah dengan kita membeli emas di kedai emas. Selagi mana ia mematuhi syarat sah jual beli, misalnya ada emas yang boleh kita ambil manfaatnya, maka sah dilakukan jual beli berkenaan.



Kedua, adakah ia simpanan atau pelaburan? Maka, jika kita membelinya untuk tujuan simpanan, ia menjadi emas disimpan. Jika dipakai, misalnya emas wafer seberat 10 gram dijadikan buah rantai, maka ia jadi emas perhiasan. Jika emas itu dilaburkan oleh pihak pengurus terbabit, maka ia jadi emas pelaburan.



Emas yang disimpan, maka kaedah menaksirnya dikira apabila beratnya mencapai 85 gram dan ke atas. Emas perhiasan, jika ia mencapai atau melebihi uruf (di Selangor uruf emas perhiasan 800 gram dan negeri lain mengikut ketetapan masing-masing). Emas yang dilaburkan, pastilah dihitung sebagai emas pelaburan dengan dilihat pada pokok dan pengembangannya pelaburan pada hujung haulnya.



Suka dinyatakan, sila campurkan emas berkenaan, jika emas disimpan sila campurkan dengan semua emas simpanan sedia ada dan jika emas perhiasan, dicampurkan dengan emas perhiasan sedia pada puan sewaktu menaksirkan zakatnya.



Ketiga, bilakah bermulanya haul ke atas semua emas itu? Bagi emas yang disimpan atau dipakai, haulnya sudah bermula saat ia mula-mula mencecah berat 85 gram (nisab zakat). Katakan puan sudah mempunyai emas simpanan di rumah seberat 70 gram, kemudian pada 1 Mac 2013 puan membeli emas dari sebuah bank seberat 20 gram, maka jumlah beratnya sudah menjadi 90 gram, maka kala itu bermulalah haulnya. Apabila sampai 1 Mac 2014, maka wajib dizakatkan 2.5 peratus.



Mungkin timbul persoalan, jika 1 Mac 2014 sampai haul, maka jumlah yang benar-benar cukup haulnya adalah 90 gram sahaja, sedangkan pada 1 Mac 2014, mungkin keseluruhan berat emas yang berada di tangan puan sudah mencecah 950 gram. Pastinya lebihan berat berkenaan (950 gram – 90 gram = 860 gram) itu belum cukup haulnya? Bukankah hal ini memeningkan?



Baiklah, memang benar sedemikian. Namun, seperti kenyataan di atas, sukar bagi seseorang untuk mengingatkan haul bagi setiap emas yang dimilikinya, malah menyulitkan baginya untuk menunaikan zakat emas berkenaan pada tarikh-tarikh bagi emas yang mencapai haulnya yang berbeza.



Maka, disarankan puan memanfaatkan apa yang telah diizinkan syarak untuk membayarkan zakat emas pada satu tarikh, misalnya pada setiap Ramadan, dengan cara menyekalikan haul emas yang masih belum sampai. Kaedah ini diizinkan oleh Nabi Muhammad SAW apabila pamannya, Abbas bin Abdul Mutallib RA meminta izin untuk menunaikan zakatnya lebih awal daripada haulnya (rujuk hadis Abu Daud).



Manakala, bagi emas pelaburan pula, pastilah ia disandarkan kepada zakat perniagaan kerana emas yang dibeli itu, dijadikan modal dalam pelaburan yang diuruskan oleh pihak yang berkenaan. Maka, apabila sampai haulnya hendaklah dizakatkan semuanya, yakni jumlah emas yang sudah dibeli oleh puan dan juga jumlah pengembangannya (modal + untung) sebanyak 2.5 peratus.



Bagi emas pelaburan, haulnya telah bermula saat puan mulai membeli emas untuk pelaburan dan ia terus berjalan sehingga setahun. Ini kerana dalam perniagaan, haulnya dikira mulai hari pertama seseorang itu memulakan perniagaannya. Walaupun awalnya ia masih di bawah paras nisab, namun ia perlu dilihat pada penghujung haul, yakni jika masa itu ia sudah mencapai atau melebihi nisab, maka wajiblah zakatnya.



Keempat, haul zakat emas simpanan puan memang boleh terputus di tengah-tengahnya jika ditakdirkan puan mencairkannya dalam bentuk tunai sehingga terkurang nisabnya, dan kembali membentuk haul baharu setelah itu jika ia mencapai paras nisab 85 gram semula.



Cuma, harus diingat, haram hukumnya jika seseorang itu sengaja memutuskan nisabnya pada penghujung haul (misalnya lagi sebulan mencapai haul), kecuali atas keperluan yang diizinkan syarak. Dalam kes ini, pemerintah Islam masih berhak mengambil zakatnya jika dia sengaja memutuskan haulnya tanpa alasan yang munasabah.



Kecuali bagi emas yang dilaburkan, haulnya masih berjalan terus kerana modal boleh sahaja bertambah atau berkurang, dan jumlah keseluruhannya akan dilihat pada penghujung haul pelaburannya.



Kelima, jika nilai atau harga emas jatuh di pasaran, maka sudah pastilah ia akan turut mempengaruhi kepada jumlah zakat puan. Semakin jatuh harga, semakin kurang zakat dan semakin naik harga emas, semakin besar zakat di sisi nilai ringgit semasa yang bakal ditunaikan.



Keenam, bolehkah ia djelaskan secara beransur-ansur? Maka, hukum menetapkan bahawa zakat hendaklah dijelaskan secara tunai (sekali gus), tidak boleh ditunaikan secara beransur-ansur atau berhutang, melainkan bagi kes tertentu. Misalnya, seseorang yang baharu tersedar dia ada qada zakat, dan setelah dikira jumlah qadanya cukup besar, katakanlah RM15,000. Maka, dia hanya mampu menjelaskan RM3,000 dan selebihnya, dia menunaikannya berdikit-dikit sehingga habis.



Dalam kes di atas, dia diberikan keringanan kerana dia tidak mampu menjelaskannya secara sekaligus, namun dia masih tetap perlu (wajib) membuat surat wasiat kepada warisnya agar menjelaskan hutang zakatnya dari harta peninggalannya, jika ditakdirkan dia meninggal dunia. Dia juga wajib bertaubat atas segala kelalaiannya dahulu dalam mengabaikan kewajipan zakatnya. Ia tidak sama dengan puan yang ada emas dalam simpanan, kerana emas itu boleh dicairkan kepada RM dan dijelaskan zakatnya tanpa perlu bertangguh lagi.



Demikianlah, serba sedikit penjelasan mengenai zakat emas dan saya berharap puan mendapat pencerahan mengenainya demi memastikan kita dapat menunaikan kewajipan yang sudah dibebankan ke bahu kita sebagai seorang mukmin, dengan penuh kefahaman dan ketelitian.



Allah SWT berfirman: “Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak dibelanjakan pada jalan Allah (tidak mengeluarkan zakat), maka khabarkan kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda itu dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi, rusuk serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu, oleh itu rasakan (azab daripada) apa yang kamu simpan itu.” (Surah at-Taubah: 34-35).



Ustaz Hamizul Abdul Hamid ialah Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)



http://www.hamizul.com/






Sumber Syndikasi: Suapan [Bahasa] Sabah 24-7

0 comments:

Post a Comment