ADVERTISEMENT BANNER

Solat jamak musim banjir

Monday, 9 December 2013

SOALAN

Sahabat saya (perempuan) mintak tolong tanya pada ustaz. Kalau badan dan pakaian kotor kena lumpur banjir, tempat solat pun kotor, adakah itu dikira darurat ke? Boleh buat jamak? Ketika di pusat penempatan mangsa banjir ada tempat solat, tetapi kalau nak ambik wuduk terpaksa ambik depan lelaki macam mana tu? Mintak ustaz tolong jelaskan..



JAWAPAN

Solat fardhu sentiasa wajib dalam apa jua keadaan selagi beraqal dan waras. Ia juga wajib fardhu 'ain ke atas setiap individu Muslim dan muslimah walau dalam keadaan banjir.



Ulama mengharuskan jamak solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran tertentu yang munasabah. Ulama mazhab Maliki mengharuskan jamak bagi mereka yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid (termasuk banjir) dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa Mumahhidat, 1/185)



Ulama mazhab Syafie mengharuskan jama solat disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan ketakutan atas keselamatan (biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau pertahanan diri seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76 ; Kifayatul Akhyar, 1/337)



Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan, wanita yang istihadah dan sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk jamak ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari Ibn Abbas, ertinya:



“Rasululllah telah menjamakkan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa jelas ketika itu wujud sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas apakah tujuan baginda ? Maka dijawab: Baginda mahu agar tidak menyukarkan ummatnya.



Kesatuan ulama Fiqh sedunia telah membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jamak solat sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang munasabah, jamak TIDAK DIBENARKAN.



KESIMPULAN



Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi (Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jamak dalam keadaan uzur dan kesukaran, ini terpakai dalam suasana banjir dan keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya dalam keadaan banjir belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan serba kurang. Air bersih terlalu terhad.



Hukumnya adalah HARUS dan DIBOLEHKAN untuk menjamakkan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isyak, ia meringankan kerana dengan sekali wudhuk dua solat fardhu dapat diselesaikan, pastinya sukar untuk menjaga wudhu dan sukar untuk berwudhu berulang kali dalam keadaan kekurangan air bersih yang meyakinkan. Tetapi jika batal diantara dua solat jamak itu, wudhu tetap WAJIB diambil.



Jika terlalu terdesak dan tiada air mineral atau bersih paip, menggunakan air banjir juga masih dibenarkan namun wajar dielakkan setakat mampu.



Cuma para ulama bersepakat jika solat jamak tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan keringanan ini, solat adalah batal dan tidak sah.



Jika penempatan banjir atau rumah mangsa banjir turut dinaiki air dan tiada tempat yang kering sepenuhnya, maka DIHARUSKAN solat sambil duduk atas kerusi, dengan rukuk dan sujud sekadar membengkok badan ke bawah. sujud mestilah lebih ke bawah berbanding rukuk. namun tiada menyentuh air banjir



BERCAMPUR LELAKI WANITA



Manakala soalan, berkaitan campur lelaki wanita di tempat wudhuk, wudhuk masih mesti diambil. Bagi membolehkan ia diambil oleh wanita saya mencadangkan beberapa perkara iaitu :



1.Cakap elok-elok pada kaum lelaki agar pergi mengosongkan tempat terbabit sebelum berwudhuk.



2.Minta ketua atau pegawai beri kerjasama untuk wanita berwudhuk.



3.Meminta saudara mara ambil kain cadar atau yang sesuai bagi dibuat penghadang semasa ahli keluarga wanita masing-masing ingin mengambil wudhu.



Sekian, semoga dapat beramal dalam apa jua keadaan.





https://www.zaharuddin.net







Sumber Syndikasi: Suapan [Bahasa] Sabah 24-7

0 comments:

Post a Comment