ADVERTISEMENT BANNER

Siapa ganti Mukhriz sebagai MB?

Wednesday, 5 August 2015

Oleh Zulkifli Yahaya

SEJURUS selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri (TPM), beliau dikunjungi oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir. Di kala timbalan perdana menteri baharu, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dihurung para pengampu politik, Mukhriz memilih Muhyiddin. Katanya, untuk berterima kasih kepada bekas TPM itu yang banyak membantu menyalurkan bantuan kewangan untuk Kedah.

Pemecatan Muhyiddin sebagai TPM adalah tindakan paling nekad Najib. Turut dipecat bersama Muhyiddin dari kabinet adalah beberapa pemimpin Umno yang dikatakan merancang konspirasi menjatuhkan perdana menteri. Mengejutkan juga apabila peguam negara yang menunggu masa saja untuk bersara turut dipecat.

Jika orang nombor dua dalam kerajaan Malaysia begitu mudah sahaja dipecat, maka menjadi perkara yang sangat kecil untuk perdana menteri itu memecat seorang menteri besar yang bapanya begitu istiqamah menyerang beliau dalam pelbagai perkara. Hal itu tentu sangat mudah difahami oleh Mukhriz, justeru beliau tiada masalah untuk bertemu seorang tokoh besar Umno yang dipecat oleh perdana menteri.

Sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad agresif menyerang Najib sejak setahun lalu, Mukhriz tidak pernah berpihak kepada Najib. Sikap itu betul sebagai anak salih yang tidak menderhakai si bapa. Tetapi dalam politik dan kepimpinan kerajaan, kesetiaan terhadap pemimpin adalah perkara paling utama. Sikap berdiam diri Mukhriz itu menyebabkan dicabar oleh Dato’ Mahfuz Omar (pesuruhjaya PAS Kedah ketika itu) supaya Mukhriz nyatakan pendirian. Sokong Najib atau bapanya.

Mukhriz tetap membisu. Dalam Dewan Undangan Negeri, sikap menyepi Mukhriz menyebabkan beliau disindir oleh bekas Exco Kedah yang juga Adun Bukit Lada, Dato’ Ahmad Lebai Sudin. Di luar Dewan, Ahmad terus mencabar Mukhriz menyatakan pendirian berterus terang dalam isu serangan Tun Dr Mahathir terhadap Najib.

Mukhriz membisu juga. Dalam kalangan Adun kedah, Ahmad Lebai Sudin paling berani kerana beliau sudah hilang kepentingan terhadap Mukhriz kerana tidak dilantik untuk apa-apa jawatan penting dalam kerajaan mahupun GLC.

Tempelakan Najib terhadap Mukhriz berlaku secara terangterangan apabila dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) oleh Perdana Menteri, semua projek mega yang dicanangkan Mukhriz dalam Bajet 2015; tiada satu pun ditunaikan Najib. Di mana Mukhriz dan exco kerajaan negeri Kedah hendak letak muka apabila mereka telah mencanangkan ke seluruh pelosok negeri bahawa sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu akan di bina di Kulim, sedangkan perdana menteri langsung tidak menyenaraikannya.

Apapun, jika berlaku penyingkiran terhadap Mukhriz sebagai menteri besar ia adalah munasabah jika tanpa pergolakan politik dalaman Umno sekalipun. Selepas tempoh dua tahun berlalu, rakyat Kedah umumnya sudah menyedari bahawa Mukhriz gagal membangunkan Kedah seperti dijanjikan.

Rakyat benar-benar tidak nampak apa-apa pembaharuan yang dilakukan Mukhriz, berbanding tempoh yang sama sewaktu al-Marhum Ustaz Azizan Razak memimpin kerajaan Pakatan Kedah dahulu.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, pengalamannya sebagai Timbalan Menteri dahulunya tidak mampu memberi impak besar kepada negeri Keda. “Rekodnya selaku menteri besar sehingga ke hari ini menunjukkan beliau belum mempunyai wawasan realistik melainkan hanya retorik,” ujar Mohd Hayati.

Tambahnya, kehendak Mukhriz untuk mengadakan pembangunan mega yang dibanggakannya tidak menjejak ke bumi nyata dan tidak menyentuh keperluan sebenar rakyat negeri ini. Selain tanpa pembelaan sewajarnya terhadap isu dan hak rakyat sebagaimana cengkaman kejatuhan harga getah, kenaikan harga barangan, masalah perbekalan air, pampasan harga tanah dimanipulasi dan sebagainya.

Seperti biasa dalam Umno, apabila nasib menteri besar bagai telur di hujung tanduk; maka ramailah yang sedang memasang angan-angan untuk mengambil alih tempat tersebut. Mendahului senarai adalah Adun Bakar Bata, Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau kini adalah timbalan menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan. Jika Mukhriz tiada dalam senarai Adun Kedah pasca PRU 13, maka Ahmad Bashah hampir pasti dilantik sebagai menteri besar berdasarkan senioriti dan kesetiaan kepada Najib.

Beliau adalah Adun BN yang paling lama bertahan di Dun Kedah, selain Dato’ Abu Hasan Sarif (Kota Siputeh).

Pilihan kedua adalah exco kanan kini, iaitu Dato’ Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak).

Cabaran Ku Abd Rahman ialah, akibat terlalu rapat dengan Mukhriz, maklumlah sebagai orang kanan. Maka beliau dianggap sebagai orang Mukhriz. Masakan Najib akan pilih “orang Mukhriz” sebagai pengganti Mukhriz.

Di media maya, nama Adun Bukit Lada, Dato’ Ahmad Lebai Sudin menjadi viral. Sebaik Muhyiddin jatuh, Ahmad memimpin beberapa Adun backbencher bertemu Najib. Hebohnya kononnya beliau bagal pengganti Mukhriz. Dalam kalangan Umno Kedah, nama beliau hanya jadi bahan lawak jenaka sahaja. Bertanding ketua Umno Bahagian Pokok Sena pun kalah.

Bekas exco zaman Tan Sri Sanusi Junid jadi menteri besar itu sekadar menjadi penghibur Dun Kedah setiap kali sidang berlangsung.

Siapa pun bakal MB Kedah, dia amat sukar memulihkan imej Umno yang rosak teruk di peringkat Pusat gara-gara senarai panjang kegagalan kerajaan BN pimpinan Najib. Di Kedah, BN gagal juga sepanjang dua tahun.

Menteri besar baharu hanya mampu menyambung kegagalan menjelang pertukaran kerajaan selepas PRU14 nanti.



Sumber Syndikasi: Suapan [Bahasa] Sabah 24-7

0 comments:

Post a Comment