ADVERTISEMENT BANNER

Betul kata Wanita Umno Langkawi, Najib perlu pergi berubat

Sunday, 16 August 2015


Apabila Abdul Rahman Dahlan mengatakan Najib Razak sebagai Perdana Menteri terbaik sehingga ini, terutama dalam konteks menjaga kepentingan Sabah dan Sarawak, ramai yang ketawa dan menggeleng-gelengkan kepala.

Ini kerana, isu besar yang sedang melanda negara dan diperkatakan di seluruh dunia ketika ini ialah mengenai wang derma sebesar RM2,600 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya.

Bagaimana beliau boleh digelar terbaik sedangkan ada wang RM2,600 juta pernah mengalir ke dalam akaun peribadinya?

Tambahan lagi, Najib juga tidak pernah jujur mengaku mengenai wang itu, meskipun ia sudah masuk ke akaunnya sejak 2013 lagi.

Jadi, di mana terbaiknya Najib itu?



Terbaiknya Najib, barangkali ialah kemampuan beliau untuk tidak peduli dan seolah-olah tidak pernah melakukan kesalahan, malah tetap suci bersih di sebalik semua orang sedang memperkatakan mengenai dirinya dan mengaitkan dengan wang tersebut.

Meskipun SPRM sudah membersihkan namanya dengan mengatakan wang tersebut merupakan derma, beliau sebenarnya masih dibicarakan dari sudut moral oleh seluruh pelusuk dunia. Pemimpin tidak saja perlu bebas daripada mahkamah undang-undang, tetapi juga mahkamah rakyat yang melihatnya dari sudut bersih dan kelihatan bersih.

Semalam, beliau mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang bertujuan mengawal selia pembiayaan dana politik bagi memastikan kebertanggungjawban dan ketelusan demi mewujudkan amalan politik yang sihat.

Jawatankuasa ini juga katanya, akan menimbang semua aspek, termasuk perubahan institusi, pemantauan, penguatkuasaan undang-undang serta peraturan baru mengenai pembiayaan politik di negara ini.

Mungkin tidak menghairankan jika yang mengumumkan penubuhan jawatankuasa ini bukan Najib atau sekiranya ketika membuat pengumuman ini beliau tidak dibelenggu dengan isu derma politik sebesar RM2,600 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya.

Tanpa memperdulikan semua orang sedang bercakap mengenainya di samping desakan agar beliau berterus terang mengenai wang tersebut - siapa pendermanya, apa tujuannya menderma sebesar itu, bagaimana ia dibelanjakan dan mana baki selebihnya, Najib memang "terbaik" dalam konteks mempersembahkan dirinya seolah-olah pemimpin paling bersih dan berwibawa.

Ketam di tepi pantai yang sedang mengajar anaknya berjalan pun boleh kalah dengan kehebatan Najib ini!!

Bukankah sebelum menubuhkan jawatankuasa ini, Najib seharusnya jujur kepada dirinya dan kepada seluruh rakyat mengenai wang RM2,600 juta itu terlebih dahulu?

Sebelum ini pula, dalam mempertahankan mengenai derma politik itu, beliau juga berkata sedia mendedahkan akaun UMNO jika parti-parti pembangkang turut sama-sama berbuat demikian.

Ini pun terbaik juga. Yang dibangkitkan ramai sebenarnya ialah akaun peribadinya tapi yang sedia didedahkannya pula akaun UMNO.



Namun demikian, apabila beberapa parti pembangkang satu demi satu sedia menyahut cabarannya, Najib tidak lagi bercakap mengenainya. Mungkin sedang mencari idea lain agaknya.

Minggu lepas, menjadi viral di media sosial apabila perwakilan Wanita UMNO Langkawi, Anina Saaduddin mengkritik keras Najib dengan dakwaan telah "kencing" tiga juta ahli UMNO dan menyarankannya agar pergi "berubat" dengan segera.

Mungkin ada yang tidak setuju dengan cara teguran beliau itu, lebih-lebih lagi tidak lama sebelum itu Najib juga dikatakan sebagai Perdana Menteri terbaik yang pernah kita ada.

Tapi nampaknya ada betulnya juga apa yang dikatakan oleh Anina - Najib perlu segera dibawa "berubat" sebelum UMNO dan kerajaan terus menjadi bahan persendaan dalam banyak tindakannya yang orang Cina kata "cakap tak serupa bikin." (SH 15/08/2015)

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.



Sumber Syndikasi: Suapan [Bahasa] Sabah 24-7

0 comments:

Post a Comment