ADVERTISEMENT BANNER

Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia Berhubung Patisyen Menuntut Campurtangan US

Thursday 12 February 2015







Saya merujuk kepada satu petisyen yang diwujudkan di laman web White House bagi mendesak Kerajaan Amerika Syarikat untuk meletakkan kebebasan Anwar Ibrahim sebagai dasar utama hubungan dua hala antara Amerika dan Malaysia.



Petisyen tersebut dimulakan oleh bekas Duta Besar Amerika ke Malaysia, John Mallot, dan hanya boleh ditandatangani warganegara Amerika sahaja.





Walaupun petisyen tersebut tidak boleh dihalang kerana ia merupakan amalan demokrasi di Amerika, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ingin menegaskan bahawa kami menolak sebarang campur tangan asing dalam urusan dalaman negara kita. Kami tidak boleh terima sekiranya kes yang dibicara oleh mahkamah di Malaysia menjadi sebahagian daripada dasar dua hala Malaysia dan Amerika. Sebarang usaha untuk kes Anwar Ibrahim dijadikan 'bilateral issue' oleh kerajaan Amerika akan dianggap sebagai usaha mencampur tangan dalam isu dalaman kami dan mencabuli kedaulatan Malaysia.



Kami juga berharap tiada rakyat Malaysia yang akan mendesak mana-mana kerajaan luar untuk memberi tekanan terhadap kerajaan Malaysia dalam kes ini.



Penyokong-penyokong Anwar Ibrahim tidak disekat untuk memberi sokongan kepada beliau di mahkamah dan di depan Penjara Sungei Buloh. Parti-parti politik yang menyokong Anwar Ibrahim bebas untuk bertanding pilihanraya akan datang. Ruang bersuara dan pentas demokrasi sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu menjuarai isu Anwar Ibrahim.



Tetapi jangan sesekali meminta campur tangan kerajaan asing dan mencabuli maruah, kebebasan dan kedaulatan negara kita.



12 Februari, 2015















Sumber Syndikasi: Suapan [Bahasa] Sabah 24-7

0 comments:

Post a Comment