ADVERTISEMENT BANNER

ESSCOM TUBUH PASUKAN PETUGAS OPS BERSEPADU KHAS BURU PATI DI SETIAP DAERAH ESSZONE

Friday, 23 January 2015






Dipetik: Esscom




KOTA KINABALU, (22 Jan) — Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan menubuhkan Pasukan Petugas bagi membantu menyelaras Operasi Bersepadu Khas memburu pendatang tanpa izin (PATI) di setiap daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Pengarah Awam ESSCOM Ruji Ubi berkata pelancaran pasukan petugas peringkat daerah itu akan dilaksanakan secara berperingat-peringkat dalam masa terdekat.

Beliau berkata ini adalah sejajar dengan visi dan misi ESSCOM yang berazam untuk membersihkan ESSZONE daripada PATI.

“ESSCOM dengan kerjasama bahagian penguatkuasa pejabat daerah di setiap daerah di ESSZONE akan mengemudi operasi bersepadu ini, dan kita harap ia akan membuahkan hasil.

“Langkah drastik ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menangani masalah PATI di Sabah, khususnya di ESSZONE,” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena majlis pertemuan ESSCOM bersama pegawai-pegawai daerah ESSZONE dan ketua-ketua agensi penguatkuasa di sini hari ini.

Ruji berkata operasi bersepadu itu akan melibatkan semua agensi penguatkuasaan negeri dan Persekutuan yang berperanan menguatkuasakan undang-undang sedia ada di peringkat daerah.

Turut hadir Komander ESSCOM Dato’ Abd Rashid Harun.

Setakat ini, katanya, Operasi Bersepadu Khas itu telah dan sedang dilaksanakan di Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan ia akan diperluaskan ke daerah lain di ESSZONE termasuk Semporna.,


Operasi membanteras PATI itu merupakan langkah susulan Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai PATI di Sabah yang dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) baru-baru ini..

ESSCOM diwujudkan pada 1 April 2013 selepas berlakunya insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu awal tahun yang sama.

ESSZONE merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.






Sumber Syndikasi: Suapan [Bahasa] Sabah 24-7

0 comments:

Post a Comment