ADVERTISEMENT BANNER

ESSCOM: SAKSI TIDAK TAHU TELEFON BIMBIT DIRAMPAS DIGUNA OLEH SEORANG LAGI TERTUDUH, MAHKAMAH DIBERITAHU

Friday, 16 January 2015













KOTA KINABALU, (15 Jan) -- Seorang saksi pada perbicaraan kes insiden pencerobohan Lahad Datu tidak tahu sama ada sebuah daripada telefon bimbit yang dirampas daripada tertuduh yang diberkasnya telah digunakan oleh seorang lagi tertuduh yang dibicarakan, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.



Ketua Unit Selam Tempur, DSP Khairul Azhar Nurudin berkata dia tidak tahu sebuah daripada empat telefon bimbit yang dirampasnya dari sebuah rumah didiami oleh Abd Hadi Mawan di Taman Keilah di Semporna telah digunakan oleh seorang lagi tertuduh Datu Amir Bahar Hushin Kiram kira-kira sejam sebelum polis menyerbu ke rumah itu kira-kira 8 malam pada 14 Mac, 2013.



"Adakah kamu mempunyai pengetahuan berdasarkan maklumat yang dicatatkan oleh Cawangan Khas melalui kaedah pintasan komunikasi bahawa salah satu (daripada empat) telefon bimbit yang kamu rampas telah digunakan oleh seorang daripada tertuduh bernama Datu Amir Bahar Hushin Kiram di rumah tersebut pada jam 7.02 malam)" soal peguam Abdul Gani Zelika dan saksi menjawab dia tidak tahu.



Khairul Azhar, saksi ke-60 pihak pendakwaan, memberi keterangan pada perbicaraan 30 tertuduh yang menghadapi pelbagai kesalahan bersabit dengan pencerobohan di Kampung Tanduo.



Pegawai polis itu juga memberitahu mahkamah bahawa dia menemui sesiapa yang dikenali sebagai Datu Amir Bahar Hushin Kiram dalam rumah itu apabila dia memberkas Abd Hadi.



Kepada soalan Abdul Gani, Khairul Azhar berkata dia memberitahu Abd Hadi selepas menahannya bahawa dia ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pencerobohan kumpulan militan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan insiden tembak-menembak di Kampung Simunul, Semporna.



Beliau juga tidak bersetuju dengan andaian bahawa Abd Hadi tidak dijumpai bersama menantunya Salleh Abdul Salleh di ruang rehat di tingkat satu rumah itu dan bahawa kedua-dua mereka telah memberi kerjasama kepada polis semasa serbuan.



"Hanya Salleh memberi kerjasama kepada polis," katanya.



Saksi itu berkata beliau tidak mencatat nama tiga wanita yang dijumpai beraca dalam rumah itu dan tidak bersetuju dengan Abdul Gani bahawa wanita-wanita itu adalah saksi penting untuk menjelaskan bagaimana penangkapan Abd Hadi dilakukan pada malam itu.



Mengenai penangkapan Tani Lahaddahi atau "Panglima Tani' pada 10 Mac, 2013 di Kampung Perigi di Semporna, Khairul Azhar memberitahu mahkamah bahawa beliau dan pasukannya diarah untuk membantu satu pasukan dari Unit Tindakan Khas yang diketuai oleh DSP Nasaruddin M. Nasir.



Walaupun beliau bersetuju dengan peguam Datuk N. Sivananthan bahawa amatlah penting untuk berkomunikasi dengan Nasaruddin semasa operasi untuk menangkap Panglima Tani, saksi itu berkata ia tidak perlu kerana setiap ketua pasukan dibekalkan alat walkie-talkie dan semua komunikasi menggunakan saluran radio yang sama.



"Jadi, tak timbul masalah jika berlaku kejadian untuk saya mengetahui apa sahaja perkembangan yang dibuat DSP Nasaruddin," katanya.



Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.



Mereka dikatakan melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.



Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.


-- BERNAMA






Sumber Syndikasi: Suapan [Bahasa] Sabah 24-7

0 comments:

Post a Comment