ADVERTISEMENT BANNER

Bola sepak, Brazil dan Umno

Tuesday 15 July 2014


Piala Dunia 2014 telah pun melabuhkan tirainya. Sebagaimana yang diketahui, Jerman telah pun muncul juara dengan menewaskan Argentina 1-0 dalam perlawanan akhir yang mendebar dan menghiburkan semua peminat bolasepak di seluruh dunia. Atas semangat berpasukan yang tinggi dan bagaimana gigihnya Jerman mencipta pelbagai produk yang diterima di seluruh dunia seperti Mercedes, BMW dan Audi, begitulah juga gigihnya mereka berusaha mencipta kemenangan kali ini.



Kemenangan Jerman sememangnya layak dimiliki berdasarkan prestasi pasukan itu sejak peringkat awal lagi. Tanpa bintang utama yang menjadi pujaan dunia, satu-satunya yang menjadi sandaran mereka ialah semangat berpasukan di kalangan semua pemainnya.



Lantaran itu, kemenangan Jerman tidaklah mengejutkan. Yang lebih mengejutkan dalam Piala Dunia kali ini ialah prestasi pasukan Brazil. Bermain di negara sendiri dan bersandarkan kebanyakan pemainnya yang gah mencipta nama di Eropah dan dikenali di seluruh dunia, Brazil pada awalnya dijangka lebih berpotensi menjuarai Piala Dunia kali ini.



Malangnya, bukan saja piala kejuaraan jauh dari genggaman, malah kekalahan 1-7 ditangan Jerman adalah suatu episod yang memalukan bagi gergasi Amerika Selatan itu. Lebih buruk lagi, dalam penentuan tempat ketiga dan keempat pula, Brazil juga tewas 0-3 kepada Belanda.



Kenapakah prestasi Brazil begitu buruk?



Jika diperhatikan, corak permainan Brazil kali ini tidak lagi seperti dulu. Gaya samba yang menjadi identiti pasukan itu sudah lenyap sama-sekali. Kita tidak lagi lagi terhibur melihat persembahan Brazil sepertimana era gemilang yang dicetuskan oleh pemain seperti Pele, Socrates, Zico, Romario, Roberto Carlos, Cafu, Ronaldo, Ronaldinho dan ramai lagi pada suatu ketika dahulu.



Pasukan Brazil kali ini telah membuang sama-sekali tradisi samba yang menjadi imejnya selama ini. Dengan sebahagian besar pemainnya sekarang mencipta nama di pelbagai liga ternama di Eropah, gaya permainan Brazil juga sudah seperti gaya Eropah. Corak permainan mereka sudah tidak banyak berbeza dengan England, Sepanyol, Italy, Jerman mahupun Belanda.



Dengan mengubah gaya permainan itulah yang menjadi punca utama mereka mudah diratah oleh Jerman dan Belanda yang sememangnya sudah masak dengan corak sedemikian rupa.



Faktor-faktor lain seperti kepimpinan, pemilihan pemain dan jurulatih mungkin hanya faktor sampingan yang menyebabkan prestasi mereka paling buruk dalam kejohanan Piala Dunia kali ini, tetapi faktor sebenarnya ialah kerana Brazil sudah membuang tradisi samba yang menjadi kebanggaannya selama ini.



Jika Brazil merudum kerana membuang tradisinya, UMNO yang menjadi kebanggaan orang Melayu sejak lebih 50 tahun lalu juga sedang mengalami evolusi yang sama. Sejak 2008, UMNO mengalami prestasi buruk dan hampir ditolak oleh orang-orang Melayu sendiri, sebahagiannya adalah kerana UMNO juga turut membuang tradisinya.



Sejak sekian lama, tradisi UMNO ialah berkhidmat kepada rakyat dan mengutamakan kepentingan mereka. Walaupun sebelum 2008 ada juga isu-isu salah laku pemimpin, mengutamakan kroni, nepotisme, pemimpin memgumpul kekayaan dan sebagainya, tetapi gejala itu paling teruk sebaik Pak Lah mengambil alih pentadbiran negara pada 2003.



Harapan rakyat dengan memberi undi paling cemerlang pada 2004, kemudiannya telah dihukum pada 2008 berikutan kekecewaan terhadap cara pentadbiran Pak Lah yang membiarkan gejala tidak sihat seperti campurtangan pihak luar, pengumpulan kekayaan di kalangan keluarga, kaum kerabat dan pemimpin yang dekat dengan puncak kuasa.



Tradisi membela rakyat telah bertukar menjadi tradisi memperkayakan diri sendiri, kroni serta kaum kerabat manakala rakyat terus dibebankan dengan pelbagai kenaikan kos dan sara hidup yang kian meningkat.



Apabila Najib mengambil alih pada 2009, tradisi itu semakin jauh dah hanyut. Selain mengekalkan hampir semua gejala tidak baik dalam era pentadbiran Pak Lah, Najib menambah lagi pakej penolakan rakyat dengan karenah dan kemewahan yang tidak henti-henti ditunjukkan oleh isteri dan anak-anaknya.



Pelbagai kemewahan dan pemborosannya terdedah kepada umum sehingga ketika graduan lepasan universiti begitu sukar mendapat kerja dengan gaji RM2,400, Rosmah sebaliknya dikhabarkan membeli cincin berharga RM24 juta.



Lantaran itu, meskipun pelbagai pemberian tunai diberikan oleh Najib dalam pilihanraya 2013 lalu, prestasi BN tetap lebih buruk dengan kemenangannya merosot daripada 140 kerusi kepada 133 sahaja.



Walaupun seringkali diingatkan agar para pemimpin UMNO kembali kepada tradisi perjuangan asal, malah bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad juga tidak henti-henti menegur dan mengingatkan tentang kuasa yang sedang di hujung tanduk, malangnya saban hari satu demi satu kebobrokan pemimpin dan kaum keluarga mereka terdedah kepada umum yang menyebabkan apabila berlaku pertandingan dalam pilihanraya, bukan lagi mudah untuk UMNO memenanginya.



Sama seperti Brazil yang sudah hilang gaya sambanya, UMNO juga sudah semakin hilang aura membela rakyatnya. Sebagaimana peminat bolasepak tidak lagi terhibur menyaksikan Brazil bermain, rakyat dan orang Melayu juga tidak lagi terpana dengan UMNO sebagaimana generasi terdahulu mengkagumi UMNO.



Persamaan Brazil dan UMNO ialah kedua-duanya sudah membuang tradisi kebanggaannya. Keutamaan pemimpin UMNO sekarang ialah merebut pangkat, jawatan, kekayaan serta glamour manakala tradisi membela dan memperjuangkan rakyat sudah menjadi agenda yang bermusim. Apabila musim gelandangan, semua membantu gelandangan dan apabila musim OKU atau orang cacat, semua berduyun-duyun tertumpu ke situ, tetapi tidak pernah sesiapa terfikir untuk merangka dasar yang kekal dan munasabah untuk membantu semua golongan tidak bernasib baik itu secara berkekalan.



Jika kerana mengubah tradisinya, Brazil telah dihukum dengan kekalahan memalukan ditangan Jerman dan Belanda, UMNO juga sebenarnya telah dihukum sedikit demi sedikit sejak pilihanraya 2008 lagi. Dan kerana enggan berundur, jurulatih Brazil, Luis Scolari akhirnya ditamatkan kontraknya untuk memberi laluan kepada jurulatih baru mengambil alih tugasnya.



Najib juga mempunyai kemungkinan besar untuk ditamatkan perkhidmatannya dalam pilihanraya akan datang berikutan enggan berundur meskipun sudah banyak kelemahan didedahkan selama ini dan tidak pula berusaha lebih baik untuk memperbaikinya.







Sumber Syndikasi: Suapan [Bahasa] Sabah 24-7

0 comments:

Post a Comment