ADVERTISEMENT BANNER

PRU-14 Masih Lama

Saturday, 4 January 2014

BIASANYA, pemimpin atau kerajaan akan dekat dan mesra rakyat kalau PRU semakin dekat. Memandangkan PRU-14, masih lama atau kira-kira empat tahun lagi, maka pemimpin atau kerajaan mengambil pendekatan tunggu dan lihat.



Pemimpin sudah terbiasa, bahawa apa sahaja isu yang timbul jauh sebelum PRU itu, akan terlupakan, apabila PRU diambang pintu.



Penulis yang mengikuti sikap pemimpin atau kerajaan sejak sekian lama, setiap selesai sesuatu pilihanraya atau pemilihan parti, rata-rata pemimpin akan kembali kepada sikap lama; yakni lebih suka membiarkan rakyat meronta-ronta semahunya, kerana mereka tahu bagaimana mengubatinya, di kala dekat PRU.



Pada PRU-13 lalu misalnya, rakyat menerima manifesto Barisan Nasional dengan kata-kata sandi JANJI DITETAPI, kerajaan akan senantiasa MENDENGAR DEGUP JANTUNG RAKYAT. Atas sebab itu, walaupun PRU itu dikatakan IBU KEPADA SEMUA PILIHANRAYA, namun rakyat memberikan kerusi 133 kepada Barisan Nasional berbanding kumpulan yang mahu merebut kerajaan 89 kerusi Parlimen.



Pada PRU 13 itu juga, walaupun kebanyakan negeri yang dikuasai Barisan Nasional mengalamai kemerosotan jumlah kerusi yang diperolehi berbanding PRU-12, namun apa yang membanggakan gabungan 13 parti itu, adalah kejayaan merampas semula Kedah dan menambah kerusi di Dewan Undangan Negeri Kelantan.



Pada PRU-13 itu, di Negeri Terengganu hampir berulang keputusan tahun 1999, di mana Pas berjaya menubuhkan kerajaan; Terengganu kini diperintah BN dengan hanya kelebihan dua kerusi (BN=17; PAS=15).



Pada PRU-13 lalu, isu panas seperti kenaikan harga barangan belum lagi muncul, walaupun trend kenaikan itu sudah terasa, namun kerajaan berjaya mengekangnya dengan memberikan subsdi yang besar, serta pemberian tunai melalui BR1M. Namun, bagi berdepan dengan PRU-14, isu yang mecekam rakyat adalah kenaikan taraf hidup yang tidak diimbangi dengan kenaikan pendapatan.



Pemberian BR1M, bukan lagi sebagai ubat penawar, pembinaan rumah-rumah mesra rakyat juga bukan dianggap sebagai penawar kepada kehidupan harian rakyat yang senantiasa bertembung dengan harga keperluan harian yang terus melambung.



Bermula pada 30 Disember lalu, apabila bermulanya KEMBALI KE SEKOLAH, ibu bapa sudah merasakan bahang kepada kesengsaraan hidup. Harga keperluan anak-anak seperti kasut, seragam sekolah, beg sandang serta harga bahan-bahan tulisan meningkat sehingga 60 peratus berbanding harga tahun 2012.



Jika pada tahun 2012, wang RM1,000 sudah cukup menampung perbelanjaan 3 anak termasuk kos pendaftaran, kini jumlah itu, hanya mampu menampung separuh daripada keperluan.



Alahai, kerana PRU-14 masih jauh, inilah harga yang perlu diabayar selama 4 tahun. Benarlah kata pemikir, jangan tanya sumbangan negara kepada anda, tanyalah sumbangan anda terhadap negara.





Sumber Syndikasi: Suapan [Bahasa] Sabah 24-7

0 comments:

Post a Comment