ADVERTISEMENT BANNER

PAU 2013: Najib Hargai Sumbangan Sabah dan Sarawak

Saturday, 7 December 2013


Untuk pertama kali dalam Persidangan Agung Umno (PAU) seorang Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, memberi pengiktirafan khusus kepada Sabah dan Sarawak.



Seorang Presiden parti yang merupakan tulang belakang kerajaan Barisan Nasional memerlukan masa 56 tahun untuk menyatakan pengiktirafan itu.



Pengiktirafan kepada partner Malaya itu dalam membentuk negara Malaysia; datang hanya disebabkan kerana tsunami politik pada tahun 2008. Kalau bukan disebabkan sokongan padu rakyat Sabah dan Sarawak pada dua PRU, mungkin kerajaan Bn sudah tumbang.



Pada PRU-13 lalu Bn secara keseluruhan mendapat 133 kerusi parlimen, di mana 47 daripadanya sumbangan daripada Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi Parlimen atau 57 jika ditambah dengan WP Labuan. Secara peratusan, Bn Sabah dan Sarawak menang 84 peratus jumlah kerusi yang ditandangi, manakala Bn Semanjung menang 52 peratus daripada jumlah kerusi yang ditandingi.



Jika berasaskan undi popular, Bn di Semenanjung telah kalah kepada Pakatan Rakyat, hal ini juga menyumbang kepada undi popular secara keseluruhan, kerana jumlah pengundi Sabah dan Sarawak tidak dapat mengimbangi jumlah undi di Semenanjung.



Negeri kaya seperti Selangor dan Pulau Pinang yang mula jatuh ditangan Pembangkang pada tahun 2008, terus menolak Bn, malah kerajaan Pakatan membentuk kerajaan dengan kuasa 2/3 selepas PRU-13.



Melihat kepada trend pengundian sejak tahun 2008 dan sehingga tahun 2013, nampaknya Bn tidak boleh mengharap sangat dengan sokongan pengundi untuk mempertahankan Bn di Semenanjung, atas sebab itu sokongan pengundi Sabah dan Sarawak merupakan vital dalam mempertahankan Bn untuk terus menerajui Putrajaya.



Perdana Menteri melihat kepada trend itu, atas sebab itu, selepas PRU-13, Datuk Seri Najib telah melantik enam menteri penuh dan 4 timbalan menteri dalam kabinetnya daripada Sabah, manakala Sarawak dihadihkan dengan tujuh menteri penuh dan empat timbalan menteri. Selain itu, Speaker Dewan Rakyat juga disandang oleh rakyat Sabah bermula tahun 2008, julung-julung kali dilakukan sejak merdeka.



Berkat kepada tsunami politik tahun 2008, maka Sabah dan Sarawak benar-benar dilihat sebagai partner membentuk negara, di mana sebelum ini, kalaupun dilantik sebagai menteri persekutuan, namun diberi peranaan yang tidak kanan.



Mengambil iktibar kepada penghargaan kepada Sabah dan Sarawak, maka harapan bagi rakyat di dua buah negeri itu, agar ianya diterjemahkan dalam bentuk pembangunan dari segi semua bidang, ekonomi, sosial mahupun pendidikan. Selain itu, pengagihan projek-projek pembangunan, hendaklah rakyat di dua negeri itu juga diberi peluang seluas-luasnya.



Sebenarnya Sabah dan Sarawak masih ketinggalan serba serbi, jika dibandingkan keadaan di Semenanjung. Keadaan ini, bukan sahaja menyumbangkan kepada kos hidup yang tinggi, malah menular kepada pencapaian pendidikan.



Semoga, melalui penghargaan ini, hak yang sepatutnya rakyat dua negeri itu perlu nikmati sepatutnya bermula sejak tahun 1963, patut diberikan tanpa berlengah lagi.



Kegagalan Dasar Ekonomi Baru yang dicipta pada tahun 70-an, yang tidak sampai kepada rakyat Sabah dan Sarawak sehinggalah dasar itu luput, jangan berulang lagi.





Sumber Syndikasi: Suapan [Bahasa] Sabah 24-7

0 comments:

Post a Comment