ADVERTISEMENT BANNER

Pakatan sapu kerusi Parlimen PRU 13 - Nizar

Tuesday 5 February 2013



KUALA LUMPUR 5 Feb: Pakatan Rakyat (Pakatan) dijangka memenangi 145 kerusi Parlimen berbanding hanya 77 kerusi oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Ramalan itu dibuat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang juga bekas Menteri Besar Perak yang dirampas jawatannya itu secara haram oleh BN.

Beliau menyenaraikan kebarangkalian kedudukan kerusi Parlimen selepas PRU 13 dalam twitternya kelmarin.

pilihan-raya1 “InsyaAllah (keputusan ini) kerana kezaliman, keangkuhan dan ketuanan Melayu,” katanya.

“Apabila kemarahan rakyat terhadapnya memuncak, maka kejatuhannya tidak dapat dipertahankan lagi. Buatlah apa sekalipun,” katanya dipercayai merujuk kepada Umno BN.

Menurut Nizar, Pakatan Selangor bakal memenangi kerusi Parlimen paling banyak iaitu 20 kerusi diikuti Perak dengan 18 kerusi.

Nizar Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang itu berkata, menerusi senarai berkenaan, hampir semua negeri di Semenanjung akan dimenangi Pakatan.

Beliau juga meramalkan Wilayah Persekutuan akan disapu 10 kerusi oleh Pakatan sementara BN hanya satu.

Sementara Sarawak pula bakal dikuasai Pakatan dengan jumlah kerusi dimenangi sebanyak 16 berbanding 15 milik BN.

Kebarangkalian itu juga manyaksikan Labuan akan ditawan Pakatan manakala Sabah kekal diterajui BN dengan perbezaan satu kerusi daripada 25 kerusi yang dipertandingkan.

Menurut jangkaan Nizar, Pakatan dan BN seimbang apabila masing-masing memperoleh empat kerusi daripada lapan kerusi yang dipertandingkan di Terengganu.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan Perdana Menteri supaya cepat membubarkan Parlimen untuk membolehkan pilihan raya.

“Melengah-lengahkan tarikh pembubaran Parlimen dan sikap main-main Najib (Razak) terhadapnya menjadi salah satu punca penolakan rakyat terhadap Umno BN dalam PRU13 nanti,” kata Nizar.


Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=44415





Sumber Syndikasi: Suapan [Bahasa] Sabah 24-7

0 comments:

Post a Comment